Saturday, 18 February 2012

Antara 14 dan 12 Februari


14 februari, tarikh yang dinantikan oleh pasangan yang asyik dalam dunia cinta. Kita mengenali tarikh itu sebagai tarikh memperingati kekasih,lalu menyambutnya bersama kekasih dengan pelbagai gaya dan cara.Ada yang menyambutnya dengan memberi bunga, memberi coklat, keluar bersama kekasih ke suatu tempat yang romantik untuk di nikmati saat-saat indah bersama orang yang di sayangi, dan bermacam-macam lagi.
12 februari, tarikh yang agak sukar untuk kita congak simboliknya kepada kita. Ada apa dengan 12 februari? Hari memperingati apa? 12 februari tidak pernah meminta disambut kedatangannya, dan laluilah 12 februari seperti mana biasa. Namun 12 februari 1949, telah mencatatkan satu peristiwa penuh tragis, syahidnya Imam Hassan Al-Banna, pergi menghadap Allah untuk selama-lamanya.
Dan kisah pembunuhan As-syahid Imam Hassan Albanna diceritakan sebagai;
Ketika kejadian, Hassan Al Banna berjalan bersendirian di jalan Ramsis, Kaherah berhampiran dengan pejabat Jam'iyatus Syubbanil Muslimin (Persatuan Pemuda Islam). Bukti perancangan mereka terbukti apabila jalan yang biasanya sibuk itu menjadi lengang. Lampu-lampu jalan dipadamkan , semua kedai dan restoran ditutup dan tidak ada kenderaan yang dibenarkan melalui jalan berkenaan kecuali sebuah teksi yang beberapa kali berulang-alik mencari 'sesuatu.'
Oleh kerana tiada kenderaan lain, Imam Al Banna menahan teksi berkenaan untuk pulang ke rumahnya. Dengan tidak disangka-sangka, sebaik sahaja teksi berkenaan berhenti di hadapan beliau, tubuh beliau terus dirobek oleh peluru-peluru yang dimuntahkan oleh senjata pemandu teksi berkenaan.
Bagi menyempurnakan lakonan sendiwara seterusnya, Imam Al Banna di bawa ke Hospital Al Qasrul Aini. Di hospital berkenaan, dengan arahan daripada Raja (Al Malik) Faroq, Imam Al Bana di tinggalkan bersendirian tanpa diberi rawatan kecemasan hinggalah beliua menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tarikh 12 Februari, lebih 53 tahun yang lalu menjadi saksi pembunuhn kejam dan terancang pihak berkenaan ke atas imamul-jihad, As Syahid Hasan Al Banna.
Bukti Perancangan semakin terserlah apabila pada 4/7/49 kerajaan Al Malik Faroq mengisytiharkan anugerah khas kepada konspirator utama yang merancang pembunuhan berkenaan, iaitu ketua di jabatan siasatan jenayah Kementerian Dalam Negeri, Amir Mahmud Bek Abdul Majid dan pemandu serta pemilik teksi berkenaan.
Mereka dianugerahkan elaun khas di atas 'jasa dan kesungguhan berkhidmat memastikan keamanan negara.'
14 februari, diingati sebagai hari memperingati kekasih, manakala 12 februari berlalu tanpa apa-apa memori padanya. Itulah masyarakat yang sedang kita hadapi. Baru-baru ini kita di kejutkan dengan kes pembuangan bayi yang cukup sifat di negeri sembilan. Ianya bukan baru. Kes yang sama jugalah yang pernah berlaku 10 tahun dahulu. Ianya kes yang berulang-ulang dan menunggu masa untuk disiarkan dalam akhbar, kemudian menjadi "gempar" sedangkan penumpuan kita tidak pun pada penyelesaiannya.
Merenungi kisah perjuangan Imam Hassan Albanna, pernahkah kita bertanya, untuk apa beliau berjuang sehingga dibunuh dengan sebegitu kejam? Adakah disana terdapat komisen, wang pencen, habuan duniawi yang diperolehi beliau? Begitu jugalah kisahnya dengan perjuangan Imam-imam besar islam. Imam Bukhari merantau jauh dan pada satu masa terpaksa memakan daun-daunan kerana tiada makanan hanya kerana ingin mengumpul hadis. Apa yang imam bukhari dapat dari dunia ini dengan berusaha dengan sebegitu rupa?
Dunia ini tiada apa-apa. Dalam suatu hadis Qudsi Allah swt berfirman: 
"jika sekiranya dunia ini berharga umpama satu sayap nyamuk disisi Allah, maka Allah tidak akan memberi makan dan minum kepada orang-orang kafir.."
Mereka bahagia dalam keyakinan. Luaran kelihatannya mereka terlalu susah dan payah, namun ketenangan itu milik mereka. Sekali lagi saya ulangi. Mereka bahagia dalam keyakinan!Pada hari ini, kita risau apabila memikirkan halatuju masyarakat. Fikiran kita berserabut memikirkan formula apakah yang terbaik untuk menyelesaikan permasalahan yang melanda. Ianya tanggungjawab semua. Semua bakal dibicarakan untuk apa yang mereka sumbang dan untuk apa yang mereka diamkan.

Sesekali insan dakwah menyalahkan cinta sebagai penyebab kepada beberapa permasalahan seperti zina, buang anak, pergaulan bebas, dan seumpamanya. Lalu cinta itu dimusuhi oleh beberapa insan. Sedarlah bahawa cinta bukanlah untuk dipersalahkan apalagi untuk dimusuhi. Terlalu banyak perkara yang akan kita kerugian apabila cinta dimusuhi. Begitu juga permasalahan pluralisme dalam berjemaah. Variasi itu janganlah dimusuhi dan apabila ia dimusuhi, akan ada benda yang kita kerugian.
Kita menghadapi masalah masyarakat yang tidak faham apa itu agama. Krisis sikap, keras, dan cepat merasakan diri sendiri itu betul. Dimana-mana sahaja kita dapat mengesan perkara ini berlaku. Mat rempit contohnya mewarisi sifat kekerasan. Hati mereka tidak lembut untuk dilentur lalu mereka menganggap merekalah yang betul. Remaja yang berkrisis dalam masalah pergaulan bebas, zina, buang anak, dan seumpamanya pula tidak faham apa itu islam. Ahli jemaah menghadapi krisis sikap yang menjuruskan diri mereka kepada mentaliti centric dan sebagainya.
Islam mengajar bahawa; Prevention is better than cure
Namun ia tidak berakhir disitu. Islam memberi panduan kepada manusia bagaimana untuk prevent dan bagaimana untuk cure. Satu pakej lengkap yang tidak akan dijumpai dalam mana-mana agama lain. Prevent dengan apa? Dengan iman dan syarak, cure dengan apa? Dengan undang-undang dan pemerintahan islam. Lalu disuatu ketika kita membariskan berpuluh-puluh alasan untuk menjustifikasikan keingkaran kita terhadap ajaran islam. Multi racial? Tidak mampu? Dan apa-apa lagi yang difikirkan wajar dan manis,lalu kita meninggalkan islam dengan mencari kemuliaan dengan benda selain dari islam yang berwajahkan kemajuan, hadhari dan sebagainya.
Islam datang dalam keadaan ia menerima fitrah manusia. Jika manusia inginkan cinta, maka islam membenarkannya. Namun islam mengajar tatacara memandu cinta itu ke matlamat yang betul.Kita mungkin sudah terlambat untuk menyedari bahawa, islam datang untuk menolong ummat manusia, bukan datang untuk memenjarakan ummat manusia. Dan saya bersetuju dengan cadangan kahwin awal, buang persepsi lama yang me"limit"kan perkahwinan hanya apabila telah mencapai umur sekian-sekian dan sekian.
Artikel ditulis oleh Zulkifli Abdullah. Beliau menulis di http://theriseofislam.blogspot.com.


sumber asal dari laman ini URL

0 comments:

Post a Comment

 

Hafifi Giat Mara

Copyright 2012 All Rights Reserved

Template Design by Hafifi Hafiz Abdul Rahim